KUANTAN – Polis mengesahkan kejadian curi cip kasino bernilai hampir RM5 juta dari sebuah bilik kasino di Genting Highlands, Bentong minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memaklumkan telah menerima laporan berkaitan kejadian daripada pihak pengurusan keselamatan premis tersebut pada 28 Oktober lalu.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, katanya, salah sebuah bilik kasino di premis itu telah dipecah masuk dan cip kasino bernilai RM4,607,800 telah dicuri.
“Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah Bentong masih meneruskan siasatan dan mengesan suspek yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi IPD Bentong di talian : 09-2222 222 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette