KUALA LUMPUR – Insiden pergaduhan antara pengawal keselamatan dan penghantar makanan di sebuah bangunan di ibu negara yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu sudah diselesaikan secara baik.
Seorang wanita yang mendakwa sebagai isteri pengawal keselamatan itu memberitahu, kedua-dua pihak sudah berdamai.
“Suami saya hadir ke IPD untuk untuk memberi keterangan, turut hadir adalah wanita yang dipercayai pelanggan penghantar makanan itu.
“Mereka sudah berbaik dan berhasrat untuk menjalin silaturrahim pada masa akan datang,” kata wanita itu menerusi satu perkongsian di ruang Facebooknya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Nazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, setakat ini polis telah memanggil dan mengambil keterangan lima individu dalam kes ini.
“Pihak polis tetap meneruskan siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan walaupun terdapat berita mangsa dan suspek telah berdamai. Kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk ke Pendakwaraya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya lagi.
Kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahanya.
Dua rakaman klip video berdurasi tiga minit dan 15 saat dan dua minit 15 saat yang memaparkan pergelutan itu tular di media sosial sehingga mencetuskan kemarahan netizen.
Berdasarkan hantaran video itu, difahamkan penghantar makanan itu telah dinafikan masuk ke dalam bangunan, tetapi penerima bertegas untuk masuk ke dalam bangunan berkenaan.
Penghantar makanan dikatakan telah memarahi pengawal keselamatan warga asing, menyebabkan dia memanggil rakan sekerjanya untuk mendapatkan bantuan dan mencetuskan pergaduhan antara pengawal dan penghantar makanan itu.- MalaysiaGazette