Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan sedang memperhalusi pelaksanaan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dijangka mula diperkenalkan pada tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya sehingga kini belum memutuskan mekanisme jumlah wang yang boleh dipindahkan daripada Akaun 1,2 ke Akaun Fleksibel untuk kegunaan kecemasan.

“Akaun 3 atau Fleksibel itu masih diperhalusi belum lagi diputuskan apakah peratus daripada Akaun 1 dan 2 dimasukkan ke Akaun 3 dan boleh dikeluarkan untuk waktu kecemasan. Tapi untuk mengeluarkan semula sejumlah RM145 bilion sukar untuk dilakukan,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2024 mengumumkan Akaun Fleksibel KWSP yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa akan mula diperkenalkan tahun depan.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam waktu yang terdekat.

“GST dikembalikan atau tidak? Tahun ini tidak, tahun depan tidak ada, kita tidak tahu pada tahun-tahun akan datang tetapi semua maklum bahawa 173 daripada 193 negara melaksanakan GST takkanlah 173 negara itu silap ya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan menjelaskan sebanyak RM11.9 bilion wang yang tidak dituntut.

Beliau berkata, individu yang ingin membuat tuntutan boleh melayari portal rasmi eGUMIS.

“Sistem ini boleh diakses dan mendapatkan wang tidak dituntut melalui kaedah online. Kita sedang memaklumkan kepada masyarakat mengenai wang tidak dituntut,” tambahnya.-MalaysiaGazette