KAJANG – Kerajaan tidak menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga ayam di pasaran tempatan sejak sistem pengapungan harga bahan mentah itu dikuatkuasakan sejak 1 November lalu.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemantauan kementerian sejak 1 hingga 5 November lalu mendapati ayam dijual pada harga terendah sebanyak RM5.79 sekilogram berbanding harga kawalan yang dilaksanakan sebelum penghapusan subsidi.
“Di Semenanjung Malaysia ayam bersih standard dijual pada harga terendah setakat ini iaitu RM5.79 iaitu jauh daripada harga kawalan sebelum ini RM9.40.
“Bagaimanapun, harga paling tinggi dikesan dijual di Semenanjung adalah RM10.50 iaitu di daerah Mentakab, Temerloh Pahang dan Pasar Awan di Matang, Perak.
“Manakala, tinjauan di negeri Sabah pula mendapati ayam bersih super dijual pada harga serendah RM10 dan maksimum RM13.90,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 yang akan disambut 12 November ini di Bandar Tasek Kesuma, Beranang di sini hari ini.
Sementara itu, Armizan turut menambah, pihaknya juga mengesan kes terpencil ayam dijual pada harga RM12.90 di Labuan yang telah sampai terus kepada perhatian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Rentetan itu,katanya, pemeriksaan segera pihak KPDN terhadap kes terpencil itu mendapati pada keesokan harinya peniaga yang bertanggungjawab itu telah menurunkan harga ayam tersebut serta merta.
“Di Labuan, satu kes sampai kepada perdana menteri dan perdana menteri terus hubungi minta kita selesaikan isu tersebut.
“Jadi perdana menteri ‘concern‘ dan ‘engage’(libat urus).. bila tanya isunya (adakah disebabkan) kos pengeluaran, akhirnya ke esoknya turunkan harga,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Armizan turut mengakui setakat ini pihak kementerian tidak menerima sebarang aduan atau laporan rasmi berhubung kenaikan harga ayam sejak subsidi terhadap bahan mentah itu dimansuhkan bermula 1 November lalu.
“(Walaupun) aduan sampai kepada perdana menteri, namun aduan rasmi kepada KPDN melalui portal, tidak ada.
“Dimaklumkan melalui WhatsApp dan kita uruskan. Tetapi dari segi aduan secara rasmi melalui penguatkuasa dan portal-portal kita tidak ada,” katanya.
Beliau juga memaklumkan pihaknya menerima sokongan pengguna yang membantu merakam dan menularkan kes barang dijual pada harga mahal.
Pun begitu beliau menasihatkan sekurang-kurangnya aduan dikemukakan secara rasmi beserta maklumat lengkap lokasi dan nama premis yang menjual barang dengan harga mahal.
“Jika anda menularkan kes jual barang dengan harga mahal di media sosial, ia boleh mengakibatkan suspek atau pelaku boleh menyorok atau melindungi bahan bukti yang ternyata boleh membantutkan tindakan penguatkuasa KPDN,” tegasnya.-MalaysiaGazette