anthony loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke melawat pameran selepas merasmikan Simposium Rel Antarabangsa di Hotel Movenpick KLIA, Sepang. Foto MUHD NA’IM, 06 NOVEMBER 2023.

SEPANG – Kajian kebolehlaksanaan sistem rel yang menghubungkan Sabah dan Sarawak akan dimulakan tahun depan selepas peruntukan bagi tujuan itu dalam Belanjawan 2024 diluluskan oleh Parlimen.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pelantikan jururunding bagi kajian tersebut akan dilakukan melalui proses tender.

Menurut beliau, kajian kebolehlaksanaan itu akan menilai dari segi faktor ekonomi iaitu pulangan terhadap pelaburan, keperluan sektor kargo serta ketersambungan antara pelabuhan dan sektor rel.

“Kedua, dari segi jajaran keadaan geografi, sama ada ia boleh dilaksanakan dan apakah anggaran kos yang diperlukan sebelum kita ke langkah seterusnya sama ada kerajaan boleh laksanakan projek tersebut.

“Kerajaan Sarawak ada hasrat dan mereka memang memohon kajian kebolehlaksanaan itu dilaksanakan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Rel Antarabangsa di sini, hari ini.

Anthony menambah, kerajaan juga terbuka untuk berbincang dengan kerajaan Indonesia berhubung cadangan mewujudkan sistem pengangkutan yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan ibu negara Indonesi yang baharu di Kalimantan.

Sementara itu, beliau berharap agar konsep lokalisasi diterapkan dalam pengurusan dan perolehan projek rel baharu ini negara ini.

Anthony memberitahu, pihaknya menyasarkan antara 40 hingga 45 peratus komponen tempatan digunakan dalam projek tersebut.

“Dalam apa-apa projek, kontraktor utama menggunakan komponen-komponen tempatan, umpamanya kita lihat syarikat-syarikat kejuruteraan tempatan boleg bekalkan komponen seperti sistem brek, kaca dan pintu,” jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau mengakui bahawa terdapat komponen seperti sistem isyarat yang memerlukan kepakaran asing. – MalaysiaGazette