Once Mekel

KUALA LUMPUR – Bekas penyanyi kumpulan popular Indonesia, Dewa-19, Once Mekel mengesahkan akan bertanding dalam pilihan raya Indonesia, pada Februari tahun depan.

Once, 53, mengumumkan perkara itu ketika program deklarasi dan konsolidasi relawan calon Presiden dan Naib Presiden Indonesia, Ganjar Pranowo dan Mahfud MD (Ganjar-Mahfud) di Malaysia di Kuala Lumpur semalam, lapor Berita Harian.

Program anjuran penyokong pasangan calon Presiden dan Naib Presiden daripada Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) itu dihadiri lebih 1,500 warga Indonesia yang menetap dan bekerja di Malaysia.

Once atau nama sebenarnya Elfonda Mekel berkata, beliau akan menawarkan diri untuk mewakili kawasan Daerah Khas Ibukota (DKI) Jakarta II meliputi Jakarta Selatan serta Jakarta Pusat dan nasibnya akan ditentukan oleh kira-kira 4.3 juta pengundi.

Antara isu yang akan diperjuangkan oleh penyanyi lagu Dealova itu adalah isu berkaitan hak artis dan selebriti mengenai hak cipta, isu undang-undang dan syarat berkaitan pembantu rumah.

“Saya mahu semua rakyat Indonesia faham kepentingan mempunyai pelbagai bakat dan keupayaan menjalankan pelbagai pekerjaan.

“Saya harap masih boleh terus berkarya (bernyanyi) dan mahu membuka mata dan minda warga Indonesia bahawa kita tidak seharusnya melakukan hanya satu, kita mesti cuba melakukan pelbagai pekerjaan.

“Saya bertuah dilahirkan, bersekolah dan mendapat pendidikan formal di Indonesia. Sokongan rakyat terhadap saya sebagai penyanyi amat padu justeru sudah tiba masa saya mengabdikan diri berkhidmat untuk mereka,” katanya,” katanya.

Once memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Indonesia.

Seramai 125 calon yang bertanding di daerah DKI Jakarta II, termasuk selebriti, bekas menteri, ahli akademik dan pemimpin parti politik. – MalaysiaGazette