Wan Azliana Wan Adnan

KUALA LUMPUR – Satu undang-undang khusus bagi mencegah dan menangani kes-kes buli terutama di sekolah perlu diwujudkan.

Peguam Wan Azliana Wan Adnan berkata, sehingga kini masih belum ada peruntukan khusus yang boleh memberikan definisi dan tafsiran yang lengkap, menyeluruh dan padu mengenai perbuatan buli.

Cadangan itu dibuat susulan data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan 4,994 kes buli dari Januari hingga Oktober tahun ini sahaja.

Paling terbaru tular kes buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Perak yang ketika ini sedang dalam siasatan pihak polis.

“Walaupun Malaysia mempunyai Kanun Keseksaan dan pelbagai peraturan, panduan seperti Ordinan Pelajaran, 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah), 1959, serta pekeliling yang berkaitan, namun satu undang-undang anti buli yang khusus masih diperlukan untuk menambah baik dan menguatkan undang-undang yang sedia ada ini,” katanya.

Wan Azliana yang juga Ketua Gerakan Pengubalan Akta Anti Buli berkata, gejala buli di sekolah harus dihapuskan.

Menurutnya, budaya negatif itu sudah mencapai tahap yang mana mangsa mengalami kecederaan teruk, kecacatan fizikal, trauma malah kematian.

“Kes-kes buli tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberikan kesan negatif terhadap mangsa secara fizikal, psikologi dan emosi.

“Semua pihak harus sedar bahawa buli adalah suatu jenayah yang boleh merosakkan mangsa sehingga ada yang meragut nyawa,” katanya.

Oleh itu, perbuatan buli tidak seharusnya dilihat hanya sekadar masalah disiplin tetapi seabgai satu jenayah berat yang semakin berleluasa.

Tegasnya, hukuman berbentuk pengajaran harus dilaksanakan agar dapat memberi mesej yang jelas kepada pembuli dan juga murid lain bahawa perbuatan tersebut tidak boleh ditolerasi.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia itu berkata, kerjasama semua pihak iaitu pentadbir sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Kementerian Pendidikan, polis dan masyarakat diperlukan bagi mencegah dan menghapuskan budaya buli.

“Apalah erti ilmu yang tinggi tapi tanpa akhlak yang terpuji di kalangan generasi muda.

“Sebagaimana yang pernah disebut oleh Saidina Ali R.A. “Jika kamu mahu ingin melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini.

” Justeru, usaha memupuk akhlak tinggi haruslah bermula daripada awal, khususnya di peringkat sekolah,” ujarnya.-MalaysiaGazette