Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga 2023 dianggarkan 33.5 juta, meningkat 1.8 peratus berbanding suku tahun ketiga 2022 (32.9 juta).

Penduduk lelaki meningkat daripada 17.2 juta kepada 17.5 juta berbanding suku tahun ketiga 2022 manakala perempuan meningkat daripada 15.7 juta kepada 16.0 juta bagi tempoh yang sama.

Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) kekal tidak berubah pada 7.6 juta pada suku tahun ketiga 2023 berbanding suku tahun ketiga 2022.

Sementara itu, komposisi penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.9 juta kepada 23.4 juta berbanding suku tahun ketiga 2022.

Komposisi penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.4 juta kepada 2.5 juta bagi tempoh yang sama.

Menurut beliau, negara merekodkan penurunan jumlah kelahiran hidup sebanyak 2.8 peratus (110,354 kelahiran) berbanding suku tahun ketiga 2022
(113,506 kelahiran).

Bayi lelaki melebihi perempuan dengan 57,260 kelahiran berbanding 53,094 kelahiran bayi perempuan.

Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,648 kelahiran (18.7%) manakala jumlah kelahiran
hidup terendah dicatatkan oleh Labuan (375 kelahiran: 0.3%).

Umur ibu 30-39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi pada suku tahun ketiga 2023 iaitu 54,451 (49.3%), diikuti oleh ibu berumur 20-29 tahun (44.0%), 40 tahun dan lebih (4.7%) dan kurang daripada 20 tahun (2.0%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kaum Melayu menyumbang 67.3 peratus (74,202 kelahiran hidup) daripada jumlah kelahiran hidup pada suku tahun ketiga 2023 (ST3 2022: 68.2%).

Kelahiran hidup bagi Cina dan India masing-masing menurun kepada 9.0 peratus dan 3.8 peratus berbanding 9.7 peratus dan 4.2 peratus pada suku tahun ketiga 2022.

Manakala, bumiputera lain merekodkan peningkatan kepada 14.2 peratus pada suku tahun ketiga 2023 (ST3 2022: 12.9%).

Ketua Perangkawan menambah, sebanyak 46,646 kematian telah direkodkan pada suku tahun ketiga 2023, penurunan sebanyak 10.0 peratus berbanding suku tahun ketiga 2022 (51,841 kematian).

Bilangan kematian bagi lelaki adalah 26,520 manakala 20,126 kematian bagi perempuan.

Pada tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,217 kematian (15.5%) manakala Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 72 kematian (0.2%).

Dari segi umur, bilangan kematian umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 32,417 kematian (69.5%), diikuti oleh umur
41-59 tahun (20.8%), umur 15-40 tahun (7.2%) dan umur 0-14 tahun (2.5%).

Melayu menyumbang 51.3 peratus (23,922 kematian) daripada jumlah kematian pada suku tahun ketiga 2023 (ST3 2022: 52.4%).

Kematian bagi bumiputera lain dan Cina meningkat kepada 11.3 peratus dan 26.4 peratus pada suku tahun ketiga 2023 berbanding 10.7 peratus dan 25.8 peratus pada suku tahun ketiga 2022.

Jumlah kematian bagi India kekal tidak berubah pada 8.3 peratus pada suku tahun ketiga 2023. – MalaysiaGazette