KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini daripada tuduhan menyebarkan berita palsu mengenai kemasukan warga India penyebab penyebaran Covid-19.
Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Lokman pada akhir kes.
Hakim Mahkamah Sesyen, Priscilla Hemamalini berkata, memandangkan pendakwaan tidak berjaya membuktikan prima facie, tertuduh dilepas dan dibebas daripada pertuduhan tersebut.
Sebelum ini Lokman mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebarkan berita tidak benar melalui rakaman audio visual mengenai kemasukan warga India ke Malaysia yang menjadi penyebab penyebaran Covid-19.
Dakwaan itu dibuat dalam aplikasi media sosial Facebook atas nama profil ‘Lokman Adam’ miliknya.
Pendakwaan mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 23 Jun lalu, Lokman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas satu lagi tuduhan menyebarkan berita palsu menerusi Facebook membabitkan kematian seorang pegawai polis susulan suntikan vaksin Covid-19, dua tahun lalu.
Hakim Nor Hasniah Ab Razak membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada peringkat akhir kesnya.
Lokman ketika ditemui pemberita diluar pekarangan mahkamah melahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut. -MalaysiaGazette