KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini membenarkan permohonan Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang memohon diberikan injuksi bagi menghalang Wan Muhammad Azri Wan Deris daripada membuat kenyataan berunsur fitnah terhadap Menteri Hal Ehwal Agama itu sehingga kes saman mereka selesai.
Perintah terhadap blogger yang dikenali Papagomo itu dikeluarkan Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong dan ia disahkan peguam Mohd Na’im, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Selain itu, hakim mengarahkan Papagomo membayar kos sebanyak RM8,000 kepada Mohd Na’im.
Pada 30 Oktober lepas, Mohd Na’im telah berjaya mendapatkan injunksi ex-parte (secara sebelah pihak).
Melalui perintah berkenaan, Papagomo dilarang daripada menerbitkan, menyiarkan atau berkongsi semula video bertarikh 18 September lalu yang mengandungi kenyataan berbaur fitnah beserta klip video selama enam minit 41 saat diambil daripada akaun tiktok @nurhafizulbadrulhisham, daripada laman Facebook miliknya.
Blogger itu juga dilarang daripada menerbitkan, menyiarkan dan berkongsi kenyataan fitnah yang mempunyai kesan yang sama seperti hantaran berkenaan dan memadamkankannya dalam tempoh 24 jam.
Mohd Na’im selaku plaintif mendakwa, defendan memuat naik satu klip video yang diambil daripada akaun tiktok @nurhafizulbadrulhisham yang membawa maksud beliau selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak membuat atau melakukan apa-apa tindakan positif bagi kesejahteraan agama Islam.
Mohd Na’im berkata, ia adalah kerana beliau didakwa mempunyai kes berkaitan tuduhan seksual adalah seorang penunggang agama yang tidak cakna dengan kestabilan masyarakat Melayu yang beragama Islam di negara ini.
Katanya, kenyataan berbaur fitnah itu menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, menjatuhkan maruah dan merendahkan status beliau dalam kalangan masyarakat umum.
Sebutan kes bagi saman ini pada 24 November depan. -MalaysiaGazette