KUALA LUMPUR – Bilangan penganggur terus merekodkan penurunan kepada 573,700 orang, atau 3.4 peratus pada bulan September lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pada September 2023, kedudukan tenaga buruh negara kekal dalam trend pertumbuhan positif dengan
peningkatan kecil dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran terus berkurang selari dengan perkembangan ekonomi semasa.

Oleh itu, bilangan tenaga buruh terus bertambah pada bulan September 2023, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.95 juta orang (Ogos 2023: 16.93 juta orang), mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) 70.1 peratus, seperti yang direkodkan bulan lalu.

Menurutnya, bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada bulan September 2023, dengan kenaikan kecil iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 16.38 juta orang (Ogos 2023: 16.35 juta orang).

Sementara itu, bilangan penganggur pada bulan tersebut mencatatkan penurunan sebanyak 0.6 peratus kepada 573,700 orang (Ogos 2023: 577,300 orang).

Pada masa yang sama, kadar pengangguran pada bulan September 2023 kekal seperti pada bulan sebelumnya (Ogos 2023: 3.4%).

Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, Mohd Uzir berkata, pada bulan September 2023, 75.3 peratus daripada jumlah penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja, mencatatkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.33 juta orang (Ogos 2023: 12.32 juta orang).

Di samping itu, bilangan penduduk bekerja dalam kategori bekerja sendiri terus mencatatkan pertambahan iaitu sebanyak 0.2 peratus kepada 2.97 juta orang
(Ogos 2023: 2.97 juta orang).

Dari segi sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong & runcit; perkhidmatan makanan & minuman; dan pengangkutan & penyimpanan.

Begitu juga, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan & pengkuarian serta pertanian juga mempamerkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja pada bulan tersebut.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada bulan tersebut, beliau berkata, mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif, merangkumi 80.0 peratus daripada jumlah penganggur.

Kategori ini berkurang sebanyak 0.7 peratus, mencecah seramai 458.9 ribu orang (Ogos 2023: 462,100 orang).

Mengikut tempoh pengangguran bagi penganggur aktif, 61.6 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.1 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

Begitu juga, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, mencatatkan penurunan sebanyak 0.4 peratus kepada 114.8 ribu orang (Ogos 2023: 115,200 orang).

Pada bulan tersebut, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun kepada 10.6 peratus, merekodkan bilangan penganggur belia seramai 310.1 ribu orang (Ogos 2023: 10.8%; 309,200 orang).

Pada masa yang sama, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.7 peratus, dengan bilangan seramai 440,000 penganggur belia (Ogos 2023: 6.8%; 439,600 orang).

Bagi luar tenaga buruh, bilangannya meningkat sedikit iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 7.24 juta orang pada September 2023 (Ogos 2023: 7.23 juta orang), sebab
utama penduduk berada di luar tenaga buruh pada bulan tersebut adalah berikutan kerja rumah/ tanggungjawab keluarga (42.9%) dan sebab bersekolah/ latihan (40.3%).

Mengulas mengenai prestasi keseluruhan bagi suku tahun ketiga 2023, beliau menambah, pada suku tersebut, bilangan tenaga buruh berada dalam trend yang menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.6 peratus kepada 16.82 juta orang (ST2 2023: 16.73 juta orang).

Oleh itu, KPTB naik sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.1 peratus (ST2 2023: 70.0%).

Di samping itu, bilangan penduduk bekerja meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada 16.25 juta orang pada suku tahun tersebut (ST2 2023: 16.15 juta orang). Sementara itu, bilangan penganggur berkurang sebanyak 1.4 peratus kepada 573,100 orang (ST2 2023: 581,400 orang).

Kadar pengangguran pada suku tahun ketiga 2023 turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 3.4 peratus (ST2 2023: 3.5%). – MalaysiaGazette