Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peningkatan kos bagi mengerjakan haji tidak dapat dielakkan kerana ia adalah faktor di luar kawalan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, antara penyebab berlakunya kenaikan itu disebabkan peningkatan kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi serta kadar tukaran ringgit Malaysia berbanding riyal dan dolar Amerika.

Faktor lain yang turut menyebabkan kenaikan kos itu berlaku adalah projek pembesaran yang berterusan di Makkah dan Madinah hingga menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan, lantas memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan.

“Di samping itu, terdapat juga caj-caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci.

“Kenaikan kadar cukai tambah nilai di Arab Saudi daripada 5 peratus kepada 15 peratus bermula Julai 2020 juga salah satu punca kenaikan kos yang agak ketara,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) bertanya  faktor peningkatan kos mengerjakan haji serta syarat dan kelayakan baharu yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Mohd Na’im memberitahu, Tabung Haji telah berusaha untuk mengawal peningkatan kos tersebut dengan memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang terhadap penerbangan, penginapan, sajian makan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.

Dengan cara itu, harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun.

Selain itu, beliau berkata, Tabung Haji juga sentiasa menasihati para pendeposit dan bakal haji untuk sentiasa merujuk kepada lembaga bagi mendapatkan maklumat tepat, dan terkini melalui platform media sosial dan portal laman rasmi Tabung Haji. – MalaysiaGazette