Jerayawara ASM Wilayah Pantai Timur di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

KUALA LUMPUR – Akademi Sains Malaysia (ASM) mengalu-alukan universiti awam dan swasta di Wiayah Pantai Timur untuk menyertai Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP).

Kolaborasi itu bakal mendorong data mentah penyelidikan setiap penyelidik mampu diakses dengan lebih mudah sekaligus mampu mengurangkan pertindihan projek penyelidikan  meningkatkan keupayaan inovasi negara.

Presiden ASM, Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata, menerusi MOSP, ASM ingin memastikan setiap individu mempunyai akses kepada data mentah penyelidikan negara yang menggunakan dana awam.

“ASM juga menggesa agar setiap penyelidik untuk membangunkan penyelidikan berasaskan misi (mission-oriented research) bagi memastikan bahawa setiap projek dijalankan memenuhi keperluan serta cabaran semasa dan mampu memberikan manfaat kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

MOSP yang boleh diakses melalui mosp.gov.my adalah platform perkongsian data mentah penyelidikan yang merupakan salah satu inisiatif di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Platform perkongsian tersebut dibangunkan oleh ASM sejak tahun 2019 dan telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 16 Mei lalu.

MOSP kini mempunyai lima universiti penyelidikan yang telah menyertai inisiatif sains terbuka berkenaan iaitu, Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Manakala agensi kerajaan adalah MAMPU, Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC) dan ASM.

MOSP juga mempunyai lebih 1,700 data set dan telah mencapai 8,000 pelawat dalam dan luar negara yang menggunakan platform berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast