KUALA LUMPUR – Maybank meluaskan perkhidmatan QR Pay rentas sempadannya ke China, salah satu yang pertama dalam pasaran untuk bank Malaysia, mengukuhkan keupayaan pembayaran rentas sempadan sedia adanya dan meningkatkan kemudahan dan kecekapan transaksi kewangan.
Inisiatif ini bertujuan untuk memanfaatkan lebih 8 juta pengguna aplikasi Maybank MAE yang melawat China serta lebih 700,000 peniaga Maybank QRPay di Malaysia melalui transaksi yang dibuat oleh pelawat dari negara tersebut.
Pada tahun 2023, Maybank melancarkan ciri QR Pay rentas sempadan yang disediakan untuk pengguna aplikasi MAE Malaysia yang melancong ke Thailand, Indonesia dan Singapura, membolehkan peniaga QR Pay Maybank sedia ada menerima pembayaran daripada pelancong dan pelawat yang menggunakan aplikasi pembayaran yang disokong dari negara-negara ini.
Penambahan koridor China baru-baru ini mengesahkan komitmen Maybank untuk memupuk hubungan kewangan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata, penglibatan aktif Maybank dalam inisiatif rentas sempadan menunjukkan komitmen bank itu dalam memberikan kemudahan kepada pelanggannya, dan sejajar dengan teras strategik M25+ Maybank, untuk mengukuhkan kehadiran serantau.
“Kemasukan ke China menawarkan peluang luar biasa bagi akses pasaran China yang dinamik dan berkembang maju, mengukuhkan lagi jejak antarabangsa kami. Ini merupakan peristiwa penting dalam misi kami untuk menyampaikan penyelesaian pembayaran yang tidak dapat ditandingi dengan lancar dan selamat, serta kami teruja membawa perkembangan baharu ini kepada semua pelanggan,” katanya.
Semasa di China, pengguna aplikasi MAE Malaysia boleh membuat pembayaran tanpa tunai dengan peniaga AliPay. Pengguna perlu mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MAE dan seterusnya memasukkan jumlah pembayaran yang akan ditukar kepada mata wang tempatan China, Renminbi China. Ini diikuti dengan pengesahan pembayaran segera yang memperincikan kadar pertukaran dan jumlah yang boleh ditolak dalam Ringgit Malaysia.
Begitu juga, peniaga di Malaysia kini boleh menerima pembayaran QR daripada pelancong yang datang dari China. Ia pantas, mudah dan selamat dengan mengimbas DuitNow QR melalui Alipay, salah satu platform pembayaran pilihan di China.
Inisiatif strategik itu adalah hasil kerjasama berterusan Maybank dengan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) membantu rakyat Malaysia yang melancong ke China, dan pelancong China dalam perjalanan yang melawat Malaysia.
Pelancong China terus menjadi segmen sasaran utama bagi Malaysia, dengan Kementerian Pelancongan mengumumkan kira-kira 16 juta pelancong untuk 2023, di mana 5 juta daripadanya dijangka dari China.
Sebelum pandemik pada 2019, pelancong China memberikan sumbangan besar sebanyak RM15.3 bilion dalam resit pelancong. – MalaysiaGazette