KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Langkawi dari Perikatan Nasional, Datuk Suhaimi Abdullah memohon maaf kepada Speaker Dewan Rakyat dan ahli-ahli Parlimen berhubung kenyataannya terhadap Teresa Kok ketika membahaskan usul Belanjawan 2024 pada 26 Oktober lalu.
Beliau membacakan kenyataan permohonan maaf pada sidang Dewan Rakyat pagi ini.
“Saya ingin memohon maaf atas kekhilafan saya pada perbahasan Bajet 2024 pada 26 Oktober lalu. Permohonan maaf ini dibuat kepada Yang Berhormat Tan Sri Yang Dipertua Tan Sri dan ahli-ahli Dewan yang terguris dan tersinggung akibat kekhilafan saya.
“Saya ingin menegaskan sebagai wakil rakyat pulau lagenda ini, Langkawi amat dekat di hati saya dan isu-isu yang membelenggu rakyat Langkawi tidak wajar diperlekeh dan dipersepsikan oleh mana-mana pihak,” katanya.
VIDEO:
Suhaimi ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok sama ada wanita dibenarkan berseluar pendek di Langkawi berkata; “Untuk Seputeh tak pakai apa pun tak apa.”
Kenyataan tersebut menimbulkan kemarahan ahli-ahli Parlimen dan meminta beliau menarik balik kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette