BUTTERWORTH – Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini setelah mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki selaras senapang angin tanpa lesen atau permit yang sah.
Tertuduh, Abdul Halim Abdul Hamid, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin.
Mengikut pertuduhan, pada 3 November lalu jam 12 tengah hari di sebuah rumah di Permatang Berangan, Tasek Gelugor telah didapati dalam milikan tertuduh selaras senapang angin bersaiz 132 sentimeter tanpa lesen senjata atau permit senjata yang sah.
Tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh dalam rayuannya menyatakan tidak akan mengulangi kesalahan tersebut selain perlu menanggung ibu bapa dengan pendapatan bulanan RM1,000.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap tertuduh selain turut memerintahkan dia dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, Abdul Halim dibenar dibebas dengan jaminan RM3,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah jenis Methamphetamin.
Mengikut pertuduhan, pihak polis telah menemui dadah Methamphetamin seberat 1.65 gram dalam milikannya pada tarikh dan masa yang sama bagi pertuduhan pertama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Siti Zulaikha kemudian menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette