PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KANGAR – Polis berjaya menyelesaikan empat kes termasuk curi dan pecah rumah yang melibatkan kerugian RM46,300 setelah dua rakan ditahan dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Repoh, Seberang Sungai di sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, lelaki berumur 49 dan 23 tahun itu ditahan dalam serbuan dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar pada 9 malam.

Beliau berkata, tangkapan itu susulan laporan diterima polis daripada orang awam pukul 10.56 malam, Ahad lepas mengenai kejadian curi beg dan motosikal di sebuah kedai runcit di kawasan Taman Sena di sini sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM8,000.

“Suspek dalam kes ini pada mulanya (dipercayai) mencuri sebuah beg sandang yang berada di dalam premis terbabit dan kembali semula ke lokasi kira-kira 20 minit kemudian untuk mencuri motosikal yang berada di hadapan premis itu (milik pekerja kedai runcit) dengan menggunakan kunci motosikal yang dijumpai di dalam beg sandang itu,” katanya pada sidang media di IPD Kangar di sini hari ini.

Yusharifuddin berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati suspek itu juga disyaki terlibat dalam tiga lagi kes pecah rumah dengan polis menjumpai semula barangan yang dilaporkan hilang oleh mangsa antaranya komputer riba, tablet, cakera keras luaran dan pemacu pena.

“Suspek pertama berumur 49 tahun itu mempunyai 16 rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, manakala suspek kedua berumur 23 tahun pula mempunyai lapan rekod lampau yang melibatkan kes jenayah dan dadah.

“Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek berkenaan juga adalah positif dadah … daripada risikan kita buat dan siasatan awal, suspek pertama panggilan (untuk) dia (ialah) ‘bomoh’, ada buat rawatan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A/380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki berumur 42 tahun yang mempunyai 38 rekod jenayah bagi membantu siasatan kes pecah premis kedai yang berlaku bagi tempoh Ogos, September dan Oktober lepas di daerah ini.

” … telah berlaku beberapa kejadian pecah premis ataupun pecah kedai yang dilaporkan di daerah Kangar, daripada siasatan kita jalankan kita telah mengenal pasti satu individu yang kita perlukan bagi membantu siasatan … suspek ini juga ada rekod dikehendaki (polis) kontinjen Perlis dan Kedah,” katanya. – Bernama