KUALA LUMPUR – Penghantaran kedua barangan keperluan utama bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza melalui penerbangan kargo sewaan khas akan berlepas malam ini.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, ia melibatkan muatan sebanyak 16 tan barangan keperluan perubatan dan barangan bayi serta makanan yang diuruskan melalui Ops Ihsan.
“Ops Ihsan adalah merupakan kolaborasi unik merentasi agensi kerajaan bersama lebih daripada 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Tujuan utama Ops Ihsan ini adalah untuk memastikan gerak atur proses bantuan lebih tersusun dan efektif di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri (KLN),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Wisma Putra turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah menyalurkan sumbangan untuk membantu rakyat Palestin melalui Akaun Amanah Kebajikan Rakyat Palestin (AAKRP).
Orang ramai boleh membuat sumbangan tunai menerusi CIMB Islamik Bank Berhad Nombor akaun 86-0030248-9 atas nama Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin. – MalaysiaGazette