Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man tiba di Mahkamah bagi menghadapi lima pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram yang akan berdepan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan Julai 2024 bagi perbicaraan kes bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang sedang berdepan 10 pertuduhan berkaitan tuntutan palsu dan pengubahan wang haram.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi menetapkan Azlan hari ini menetapkan sembilan hari bagi mendengar perbicaraan berprofil tinggi ini.

Tarikh-tarikh ialah 18 dan 19 Julai manakala tarikh pada Ogos 2024 ditetapkan pada 1, 2, 19, 20, 21, 22, dan 23.

Azura juga menetapkan 12 Januari 2024 bagi membolehkan kedua-dua pihak memaklumkan status representasi yang dikemukakan untuk mengkaji pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat memaklumkan mahkamah pihaknya akan memanggil 20 saksi memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu.

Beliau juga memaklumkan pihaknya telah menerima salinan representasi hari ini dan akan dimuktamadkan oleh Peguam Negara.

Perbicaraan terhadap Azlan dijadual didengar secara bersama bagi lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu mencecah lebih RM1.18 juta dan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah RM1.06 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast