Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin diminta supaya ‘cermin diri’ berhubung dakwaan empat ahli Parlimen daripada parti itu yang memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diugut dan disogok.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi  berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu harus memikirkan kembali siapakah yang mula-mula menggunakan kaedah ugut dan sorok sebelum ini.

“Muhyiddin dakwa empat ahli Parlimen Bersatu yang beri sokongan kepada PMX (Perdana Menteri Ke-10) sudah diugut dan disogok. Muhyiddin patut cermin diri sendiri. Siapa yang guna kaedah ugut dan sogok.

“Semua ahli Parlimen UMNO yang keluar parti (pada) 2018 dan masuk Bersatu pada 2019 jadi menteri. Semua dapat jawatan. Tok Pa (Mustapa Mohamed), Dr Latiff (Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad), (Datuk Seri) Ikmal Hisham (Abdul Aziz), (Datuk) Mas Ermieyati (Samsudin), (Datuk Seri) Hamzah Zainudin, Dr Nor Azmi (Datuk Dr Noor Azmi Ghazali) dan (Datuk) Shabudin Yahaya,” katanya di Facebook hari ini.

Lebih daripada itu, Puad berkata, pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pula diugut dengan puluhan tuduhan.

“Mereka tidak lari. Tanya Tok Pa dan Hamzah. Kenapa lari (lompat)? Takut didakwa. Peruntukan punya hal pun boleh lari. Ini semua kerana mereka tidak ada jati diri,” katanya.

Rabu lalu, dua lagi ahli Parlimen Bersatu membuat pengumuman mengejutkan apabila menyatakan sokongan penuh kepada Anwar.

Ia dimulakan dengan sokongan daripada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Pada 7 November pula, Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim mengambil tindakan sama, sebelum Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik turut berbuat demikian.

Susulan tindakan itu, Iskandar Dzulkarnain dan Dr Suhaili, masing-masing digantung Bersatu empat serta enam tahun manakala hukuman terhadap Azizi dan Zahari akan ditentukan Lembaga Disiplin Bersatu yang bersidang dalam masa terdekat.

Lewat malam tadi, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan pihaknya akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelasnya, laporan itu susulan dakwaan wujudnya unsur ugutan dan rasuah selepas beberapa Ahli Parlimen PN menyatakan sokongan kepada Anwar bagi mendapatkan peruntukan sebagai wakil rakyat. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bersatu buat laporan polis, SPRM dakwa ada bukti rasuah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast