Hannah Yeoh

PUTRAJAYA –  Golongan belia di Malaysia kini lebih berani untuk melibatkan diri dalam pembuat dasar negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, golongan itu dihat mahu menjadi sebahagian daripada solusi kepada permasalahan yang berlaku.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedar ciri perwatakan belia kini telah berubah seiring dengan kepesatan teknologi, perubahan ekonomi, sosial dan politik yang mencabar kemampuan.

“Belia juga kini lebih berani, mereka mahu terlibat dan menjadi sebahagian daripada solusi kepada permasalahan dan menjadi “orang penting” dalam pembuatan polisi dan dasar kerajaan,” katanya sempena Anugerah Perdana Belia Negara 2023 di Putrajaya, hari ini.

Hannah berkata, KBS telah pun mengadakan beberapa siri sesi konsultasi bersama pemegang taruh KBS, termasuk golongan belia melalui Sesi Townhall bersama Majlis Belia Malaysia serta sesi konsultatif Belanjawan 2024 bagi mendengar cabaran serta cadangan-cadangan anak muda.

Selain itu, Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030) yang telah dilancarkan sempena Sambutan Hari Belia Negara 2023 menjadi dokumen rujukan dalam merencana program-program pembangunan belia menuruti aspirasi dan pandangan belia pada masa kini.

“Model yang berteraskan kepada konsep Malaysia Madani ini menyasarkan belia sebagai pemangkin masyarakat sejahtera,” kata Hannah lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Hannah berkata KBS telah mencapai sasaran sejuta keahlian program Rakan Muda tahun ini berdasarkan kepada penganjuran 3,000 program yangdigerakkan kementerian itu khusus untuk program tersebut.

“Tahun depan, ini akan merupakan penggerak utama program belia melalui KBS.

“Sejumlah RM20 juta akan kita pastikan sampai ke setiap negeri yang akan melancarkan program berbeza untuk menarik minat dan mengisi masa lapang golongan belia,” katanya lagi.

Anugerah Perdana Belia Negara mengangkat dua individu sebagai penerima Anugerah Khas iaitu atlet Skuasy negara, S. Sivasangari yang memenangi dua pingat emas dalam Sukan Asia Hangzhou 2023 di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou.

Seorang lagi penerima adalah Cikgu Intan Zulaikha Jusoh yang memberikan inspirasi kepada remaja Kelainan Upaya (OKU), Mohd Aqil Naufal Zahiran untuk menyertai sukan bolasepak di Sekolah Kebangsaan Lepar Utara 1, Jerantut Pahang. – MalaysiaGazette