ahmad maslan
Ahmad Maslan berkata kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan 'Bahasa Jiwa Bangsa' di DBP, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bahasa Melayu perlu diperkasakan sebagai bahasa ekonomi dan perniagaan di negara ini.

Menurut beliau, bagi mencapai matlamat tersebut, usahawan tempatan sepatutnya berkomunikasi sesama mereka dalam bahasa Melayu.

“Itu perlu dibuat dahulu antara usahawan Melayu dengan usahawan kaum lain, itu yang sepatutnya dilakukan sesama kita di dalam negara.

“Apabila berniaga dalam bidang e-dagang, sektor pembinaan, kita perlu menggunakan bahasa Melayu,” katanya.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Seminar Bahasa Tonggak Perpaduan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Beliau menambah, usaha itu perlu dilakukan secara bersepadu bukan sahaja oleh DBP, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi malah turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Apabila kita melihat trend yang berlaku di negara kita, jika mereka menjadi ahli perniagaan maka terus berubah dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.

“Saya kira ia tidak perlu begitu, sepatutnya bahasa Melayu terus jadi bahasa ekonomi dan perniaagaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette