Polis melakukan pemeriksaan ke atas seorang pengunjung dalam operasi bersepadu yang dilakukan dalam pusat hiburan semalam.

JOHOR BAHRU – Seramai 24 individu beragama Islam ditahan di sebuah premis hiburan ketika sedang leka meminum arak dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di bandar raya ini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan termasuk dua warga asing berumur antara 17 hingga 45 tahun.

Penahanan dilakukan  mengikut Seksyen 19(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana meminum minuman yang memabukkan.

Kesemua yang ditahan bawah kesalahan itu diserahkan kepada JAINJ untuk tindakan selanjutnya.

Operasi itu turut memeriksa 139 individu dan saringan air kencing mendapati lapan lelaki dan dua wanita positif dadah.

Sementara itu, dalam satu operasi berasingan,  empat lelaki dan tiga perempuan positif dadah, berusia antara 20 hingga 68 tahun diberkas di sebuah premis hiburan.

Polis turut menahan seorang individu yang bekerja sebagai juruwang di premis itu.

Suspek ditahan mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua yang ditahan telah dikenakan reman selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.- MalaysiaGazette