MELAKA – Perayaan Deepavali bagi kira-kira 250 penduduk di Kampung Chetti, Gajah Berang yang berusia lebih 135 tahun disambut dengan keunikannya tersendiri.
Mana tidaknya, asmilisi budaya sejak lebih 100 tahun itu menjadikan kelompok minoriti itu semakin menyerupai masyarakat Melayu di negara ini baik dari segi amalan budaya dan pertuturan seharian.
Pengerusi Persatuan Chettyi Melaka, K. Suppiah Pillay, 74, berkata, keadaan ini berlaku sejak kampung itu dibuka pada 1888 apabila pedagang dari India berkahwin dengan wanita Melayu tempatan yang beragama Hindu tetapi tidak tahu Bahasa Tamil.
“Lama-kelamaan, anak-anak dibesarkan dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda sehinggalah ke hari ini sebagaimana masyarkat Baba Nyonya di Melaka yang bertutur Melayu di rumah.
“Tidak sekadar itu, kami juga menjadikan pantun dan gurindam menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di rumahnya di sini hari ini.
Menurut Suppiah sambutan Deepavali bagi masyarakat Chetti bermula dengan mandi dan memakai baju baru sama seperti masyarakat Melayu, cekak musang untuk sembahyang di kuil.
“Selepas mendoakan keluarga dimurahkan rezeki dan panjang umur, kami akan meraikan Deepavali di rumah menunggu saudara mara dan sahabat handai datang beraya.
“Antara juadah dihidangkan adalah kari ayam dan kambing bersama nasi minyak, tart nanas, putu kacang dan tosei,” katanya.
Sementara itu, David Chan, 76, berkata, dia sekeluarga menjadikan aktiviti menziarahi Suppiah sebagai tradisi tahunan setiap kali Deepavali.
“Saya juga merupakan anak angkat kepada ibu bapa Suppiah, P Kandasamy dan R Kamachi sejak kecil kerana dibesarkan dan bersekolah di sini sehinggalah berkahwin.
“Dulu kita semua miskin dibesarkan di sini sampailah anak-anak saya pun, ibu (Kamachi) yang bela dan jaga mereka sehingga memasuki univerisiti.
“Sebab itu budi ibu akan dibawa mati dan saya akan jadikan keunikan ini sebagai tradisi tahunan setiap kali Deepavali,” katanya. – MalaysiaGazette