Ustaz Azhar Idrus
Ustaz Azhar Idrus

KUALA LUMPUR – Pas Pulau Pinang mendakwa sekatan yang dikenakan terhadap pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus daripada menyampaikan kuliah di negeri itu berunsur politik.

Ketua Penerangannya, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, tindakan terhadap pengajar-pengajar yang dikatakan cenderung kepada parti politik pembangkang itu menggambarkan satu keputusan yang sangat membangkitkan kemarahan rakyat di Pulau Pinang.

Beliau mempersoalkan tindakan tersebut kerana selama ini, masjid dan surau hidup dengan pengimarahan sambil dipantau oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP).

“Yang terbaharu, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus pula menjadi mangsa ketidakbijakan pencatur politik apabila beliau disekat dari menyampaikan kuliah di tiga lokasi di Pulau Pinang.

“Pas Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang mempertimbangkan semula keputusan penyekatan asatizah ini, agar keharmonian rakyat di negeri yang tercinta ini dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bulan lalu, pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias mengesahkan beliau telah menerima arahan tidak dibenarkan lagi memberi kuliah di Pulau Pinang selepas 33 tahun berceramah di negeri itu. – MalaysiaGazette