Gambar hiasan

TOKYO – Harga minyak susut pada hari Isnin berikutan kebimbangan baharu mengenai permintaan yang semakin berkurangan di Amerika Syarikat dan China, sekali gus menjejaskan sentimen pasaran.

Niaga hadapan minyak mentah Brent bagi Januari turun AS$0.35 atau 0.4 peratus, kepada AS$81.08 setong pada 0051 GM.

Manakala niaga hadapan minyak mentah AS West Texas Intermediate (WTI) bagi Disember pada AS$76.82, turun AS$0.35 atau 0.5 peratus.

Kedua-dua penanda aras naik hampir 2 peratus pada Jumaat lepas apabila Iraq menyuarakan sokongan untuk pemotongan minyak oleh OPEC+, tetapi kehilangan kira-kira 4 peratus untuk minggu itu, mencatatkan kerugian mingguan ketiga buat kali pertama sejak Mei.

“Pelabur lebih tertumpu pada permintaan yang perlahan di Amerika Syarikat (AS) dan China manakala kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan daripada konflik Israel-Hamas semakin surut,” kata Hiroyuki Kikukawa, presiden NS Trading, unit Nissan Securities.

Minggu lalu Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) berkat, pengeluaran minyak mentah di AS tahun ini akan meningkat sedikit, kurang daripada yang dijangkakan sebelum ini manakala permintaan akan jatuh.

Data ekonomi yang lemah minggu lepas dari China, pengimport minyak mentah terbesar dunia, juga meningkatkan kebimbangan permintaan yang goyah.

Selain itu, penapis di China meminta kurang bekalan daripada Arab Saudi, pengeksport terbesar dunia untuk bulan Disember.

Namun, Kikukawa berkata, harga minyak akan disokong jika WTI menghampiri AS$75 setong.

Pengeksport minyak utama Arab Saudi dan Rusia mengesahkan minggu lalu mereka akan meneruskan pengurangan pengeluaran minyak sehingga akhir tahun kerana kebimbangan terhadap permintaan dan pertumbuhan ekonomi dalam pasaran minyak mentah.

OPEC+, Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu termasuk Rusia, akan bertemu pada 26 November ini. – Agensi