Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS), dari 14 hingga 17 November ini.

Beliau akan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Turut sertai delegasi negara ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Selaku Pengerusi APEC untuk 2023, AS akan menjadi tuan rumah APEC Economic Leaders’ Meeting (AELM) buat kali ketiga, selepas tahun 1993 dan 2011 di Blake Islands dan Honolulu.

Tahun ini, Presiden Joseph R. Biden akan mempengerusikan AELM dan dijangka mengetuai perbincangan mendalam dengan Pemimpin-Pemimpin APEC
mengenai topik yang berpusat kepada pengukuhan hubungan ekonomi; meningkatkan keterangkuman dan kemampanan; dan mengukuhkan daya tahan dan kerumitan
ekonomi; selaras dengan tema APEC 2023, “Membina Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua”.

AELM ke-30 dijangka menerima pakai Deklarasi Golden Gate 2023 Pemimpin-Pemimpin APEC, yang mencerminkan komitmen Ekonomi-Ekonomi APEC dalam menangani cabaran global dan memajukan usaha ke arah merealisasikan Wawasan Putrajaya APEC 2040.

Penerimaan Deklarasi Golden Gate ini adalah penting kerana ianya menekankan perpaduan dan kerjasama di kalangan Ekonomi-Ekonomi APEC, terutamanya yang
berkaitan dengan kebimbangan berterusan berkenaan, antara lainnya, krisis iklim dan gangguan rantaian bekalan.

Semasa di San Francisco, YAB Perdana Menteri dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke Dialog Tidak Rasmi Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu, iaitu Pemimpin Colombia, Fiji dan India; Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC; dan Sidang Kemuncak Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2023.

Penglibatan dalam acara-acara ini akan menjadi peluang kepada perdana menteri untuk menyatakan perspektif Malaysia mengenai ekonomi global semasa dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau yang mendesak dengan ketua-ketua pegawai ekskutif (CEO) yang berpengaruh, usahawan-usahawan dan Pemimpin-Pemimpin APEC.

Perdana menteri juga akan menyertai Mesyuarat Kedua Pemimpin-pemimpin Kerangka Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).

Bagi memanfaatkan keberadaan di San Francisco, perdana menteri juga dijangka mengadakan pertemuan secara individu dengan pemimpin-pemimpin perniagaan
terkemuka Amerika, di sela-sela AELM.

Mesyuarat ini bertujuan untuk memuktamadkan pelaburan bernilai tinggi yang akan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi di Malaysia; selaras dengan strategi dan objektif yang digariskan dalam Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030 (NIMP 2030).

Anwar juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC untuk meneroka cara untuk mengukuhkan lagi
kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang demi manfaat bersama.

Perdana menteri turut akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara syarikat BlackBerry dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) dalam kerjasama keselamatan siber.

Dalam rangka lawatan tersebut juga, perdana menteri akan menyampaikan syarahan umum kepada pelajar dan sarjana di Universiti California, Berkeley,
memfokuskan kepada “Superpower Rivalry and Rising Tensions in the Asia-Pacific – The View from Southeast Asia”.

Dalam memberikan gambaran keseluruhan keadaan geopolitik, perdana menteri juga akan menyentuh tentang demokrasi, kebebasan berperlembagaan dan Islamofobia.

Sebelum pulang ke Malaysia, perdana menteri akan menghoskan majlis makan malam dengan diaspora serta pelajar-pelajar Malaysia yang berada di San Francisco.

Sebagai Ekonomi pengasas APEC, penglibatan aktif Malaysia semasa Mesyuarat Ke-30 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC akan menekankan komitmen Malaysia ke arah mengukuhkan kerjasama ekonomi, meningkatkan kemakmuran ekonomi dan memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif untuk semua.

Sepanjang penglibatan perdana menteri dengan Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC dan di pelbagai platform pelbagai hala dan dua hala, perdana menteri berhasrat untuk mengetengahkan situasi di Palestin, untuk meraih sokongan global, akses kemanusiaan, dan penyelesaian yang adil.

Beliau juga akan mengambil peluang untuk berkongsi keutamaan dan prinsip Malaysia di bawah Rangka Kerja Ekonomi Madani, menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan kerjasama untuk kemakmuran bersama. – MalaysiaGazette