Seekor harimau memasuki perangkap yang dipasang di Pos Pasik di Gua Musang.

GUA MUSANG – Seekor harimau belang berjaya ditangkap menggunakan perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Pos Pasik, di sini hari ini.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, haiwan itu berada keadaan sihat dan akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak.

Menurutnya, pada 6 Oktober lalu, jabatan berkenaan telah menjalankan operasi tangkapan harimau belang selepas seorang lelaki di Pos Pasik maut diserang harimau pada 5 Okt.

“Susulan daripada kejadian tersebut, pada 6 Okt lalu Perhilitan Kelantan telah menjalankan siasatan awal, pemantauan serta pemasangan satu unit perangkap harimau belang di lokasi aduan.

Operasi melibatkan 10 anggota jabatan ini dilaksanakan kerana harimau belang masih berkeliaran di sekitar lokasi aduan iaitu di perkampungan Pos Pasik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Mohamad Hafid berkata, harimau belang terbabit masih dalam siasatan bagi mengenal pasti samada ia adalah harimau yang sama menerkam mangsa dalam kejadian lepas.

Beliau berkata, kehidupan harian masyarakat Orang Asli setempat turut terjejas sepanjang tempoh haiwan berkenaan berkeliaran.

“Dengan kejayaan operasi tangkapan harimau belang ini, sekurang-kurangnya ia meredakan kegusaran penduduk Orang Asli di Pos Pasik.

Walau bagaimanapun penduduk di Pos Pasik perlu berjaga-jaga semasa keluar ke ladang dan bekerja secara berkumpulan serta tidak berseorangan,” katanya.

Menurutnya Pos Pasik merupakan salah sebuah perkampungan Orang Asli yang jarak perjalanan dari Bandar Gua Musang mengambil masa sehingga empat jam, bergantung kepada faktor cuaca.

“Selain itu keadaan jalan balak untuk ke lokasi juga hanya boleh dilalui dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4×4) sahaja,” katanya. -BERNAMA