KUALA LUMPUR – Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dengan tegas menafikan posting tular yang mengaitkan komen jelik terhadap perdana menteri dilakukan oleh salah seorang anggotanya.
Ketua IPD Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp bertajuk “dakwaan anggota polis IPD Sepang melontarkan komen jelik terhadap perdana menteri” yang dikeluarkan oleh pihak PRO Bukit Aman.
Maklumat daripada PRO Bukit Aman selepas terkesan satu ciapan yang tular di Twitter dan hantaran itu telah dimuat naik pada 13 November lalu, jam 9.30 malam oleh pemilik akaun Twitter @orenjirenoren.
Akaun itu memaparkan dakwaan anggota polis melontarkan komen jelik terhadap perdana menteri.
“Berdasarkan tangkap layar perbualan tersebut, anggota polis bernama “Azizy” yang menggunakan nombor telefon 012-335 0495 itu disyaki bertugas di IPD Sepang.
“Namun hasil semakan melalui Sistem I-prs dan semakan Cawangan Hrmis, Bukit Aman mengesahkan penama bukannya warga kerja PDRM,” kata Wan KAmarul.
Oleh itu beliau menggesa orang awam tidak berkongsi maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kegusaran awam. – MalaysiaGazette