Mahathir Mohamad
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media Humanity Movement mengenai Penghentian Sekatan Bantuan Kemanusiaan Dunia ke Gaza di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 14 NOVEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Rejim Zionis Israel bukan sahaja tidak mahu melaksanakan penyelesaian dua negara malah ia merancang untuk mewujudkan satu negara sahaja tanpa Palestin.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, situasi yang berlaku di Gaza ketika ini menggambarkan niat rejim Zionis Israel itu.

Beliau berpendapat, dasar pentadbiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjurus kepada membunuh semua rakyat Palestin supaya menjadi penyelesaian terakhir.

“Itulah yang dijanjikan oleh Netanyahu walaupun dia tak sebut secara langsung tetapi dari tindakan dan percakapannya bahawa bagi Netanyahu, dua negara bukan penyelesaian.

“Kerana bagi Netanyahu cuma ada Israel sahaja tidak ada Palestin,” katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Dr Mahathir berpandangan, penyelesaian dua negara dalam konflik Palestin-Israel hanya akan tercapai sekiranya rejim Zionis Israel memulangkan tanah milik rakyat Palestin.

Beliau yang juga Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana memberitahu, langkah itu perlu dilakukan memandangkan banyak kawasan penempatan Yahudi dibina atas tanah yang dahulunya milik rakyat Palestin.

“Tetapi di waktu ini saya tak fikir akan menyelesaikan masalah kerana Israel tidak hendak melihat orang Palestin ada negara pun,” jelasnya.

Dr Mahathir turut menyarankan agar konflik Palestin-Israel diselesaikan secara aman dengan membawanya ke mahkamah antarabangsa.

Namun, beliau berkata, negara-negara yang bersekutu dengan Israel tidak mahu memilih jalan penyelesaian tersebut.

“Mereka cuba membunuh, ini bermakna yang lebih kuat membunuh akan dapat kejayaan.

“Itu bukan keadilan, itu satu kezaliman kerana negara yang kuat boleh dapat sesuatu untuk mereka, yang lemah akan gagal,” katanya. – MalaysiaGazette