Orang ramai berhimpun menyatakan solidariti kepada Palestin yang diserang secara berterusan oleh ISrael pada Himpunan Freedom For Palestine anjuran Viva Palastina Malaysia dan MYCARE ketika di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 22 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Rakyat Palestin berhak mendapat keamanan, kebebasan dan sebuah negara berdaulat bukan kekejaman dan pembunuhan dari rejim Zionis Israel.

Timbalan Setiausaha Agung PKR,  Dr. Sathia Prakash Nadarajan mengimbas kembali momen beliau berkhidmat di Tanah Gaza dalam misi kemanusiaan sebagai salah seorang daripada 14 sukarelawan perubatan Malaysia untuk rakyat Palestin kira-kira 10 tahun lalu.

Berdasarkan pengalamannya, setiap detik dan situasi yang disaksikan di depan matanya tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata.

“Pengalaman saya kira-kira 10 tahun lepas begitu meruntun jiwa setelah melihat sendiri penderitaan rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Israel yang mengakibatkan ribuan wanita, kanak-kanak serta bayi yang tidak berdosa terkorban akibat serangan di udara dan darat.

Dr Sathia Prakash semasa di Gaza dalam misi perubatan kepada rakyat Palestin 10 tahun lalu. gambar fail FB DR.Sathia Prakash Nadarajan.

“Saya tahu saat paling sukar adalah perasaan yang mana kamu ditindas dan sebahagian negara khususnya kuasa Barat yang tidak menghiraukan tentang apa yang rakyat Palestin walaupun wujud beberapa protes rakyat di beberapa negara yang desak serangan dihentikan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Parlimen Hulu Selangor itu berkata, isu yang sedang berlaku di Palestin bukan soal krisis  agama atau etnik tetapi membabitkan krisis kemanusiaan yang meragut nyawa ribuan nyawa selain turut menyasarkan hospital sebagai sasaran bom.

Lebih memeritkan, katanya, segala resolusi dan desakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar gencatan senjata dilaksanakan serta merta oleh Israel tidak diendahkan kerana disokong dan dibiayai negara kuasa besar dunia.

Sathia Prakash

“Namun di sebalik segala tekanan itu, kita tidak boleh berganjak dan begitu juga komuniti dunia perlu terus lantang menyatakan tekanan kepada Israel dan kuasa besar dunia selain mengukuhkan solidariti kepada rakyat di Palestin.

“Marilah kita berhenti berdebat kosong tentang siapa yang betul dan siapa yang salah dalam isu Palestin.

“Perkara yang lebih penting dan utama yang kita harus fikirkan dan bertindak sekarang adalah terus bersama rakyat Palestin untuk menjamin keselamatan dan masa depan rakyat serta anak-anak di Gaza,” ujarnya.

Malah tegas Dr Sathia Prakash, paling penting bagi melindungi dan mempertahankan kebebasan serta hak asasi rakyat dan kedaulatan mutlak negara Palestin daripada terus diceroboh dan dicabul rejim Zionis Israel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast