Saifuddin Nasution Ismail. Foto WAN NABIL NASIR, 23 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar hanya boleh dibawa pulang ke negara ini sekiranya sabitan hukuman mati bagi kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006 ke atasnya berubah kepada hukuman lain seperti penjara sepanjang hayat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peguam Sirul Azhar boleh mengemukakan permohonan semakan di mahkamah bagi membolehkan proses ekstradisi atau membawa pulangnya dilakukan.

Menurut beliau, budi bicara mahkamah dan hakim akan dipertimbangkan dalam langkah itu memandangkan negara telah mengubah hukuman mati mandatori baru-baru ini.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution mengesahkan pihaknya tidak mempunyai maklumat terkini sama ada pihak Sirul Azhar tekah memohon kepada mahkamah untuk semakan hukuman yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.

“Oleh kerana status Sirul Azhar sudah dijatuhkan hukuman, persoalan seterusnya ialah apakah beliau melalui peguam boleh memohon agar hukuman ke atasnya itu dapat dikemukakan.

“Sekarang, ada 1,267 pesalah yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah, dan kira-kira 900 lebih sudah kemuka semakan semula hukuman. Sebab sabitan tak berubah, daripada hukuman mati misalnya kepada hukuman penjara sepanjang hayat.

“Apakah Sirul Azhar mempunyai hak menerusi peguamnya? Dia boleh saja mengemukakan untuk ruang ini. Kalau itu sudah dibuat, barulah boleh proses ekstradisi atau umpama rayuannya berakhir dengan adanya perubahan dari segi hukuman, sementara sabitan tidak berubah tapi hukuman berubah,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk Pejabat Peguam Negara dan mahkamah sebelum membuat keputusan membawa pulang Sirul Azhar.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution mengakui, wujud kekangan Malaysia untuk melaksanakan proses itu memandangkan Australia tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati dalam undang-undangnya biarpun kedua-dua mempunyai perjanjian ekstradisi.

“Memang ada perjanjian ekstradisi antara Malaysia dengan Australia. Di Malaysia, status Sirul Azhar seperti yang kita maklum, dia sudah dijatuhi hukuman mati, manakala Australia pula sebuah negara yang tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati terhadap pesalah jenayah di negara mereka.

“Antara syarat ekstradisi, dia ada banyak untuk boleh dilaksanakan di mana kesalahan terbabit mestilah ada elemen ‘dual criminality’, iaitu kesalahan mesti menjadi kesalahan jenayah bagi kedua-dua negara yang turut membawa hukuman yang sama. Jadi walaupun kita ada perjanjian ekstradisi, ia ada satu perbezaan di situ.

“Seterusnya, kita juga ada banyak perjanjian ‘Mutual Legal Agreement’ (MLA), termasuk dengan Australia (yang dipanggil) ‘Mutual Assistance in Criminal Matters Act 2002’. Namun, prinsip ‘dual criminality’ masih terpakai,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast