Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Kapar, Halimah Ali ketika mengadakan lawatan kerja ke kawasan pembuangan sisa minyak dan pencemaran bau di kawasan perindustrian di Jalan Bukit Kerayong, Kapar, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2023.

KLANG – Pemilik tanah tapak pembinaan Bukit Kapar, di sini, diarah melakukan kerja-kerja pembersihan dan melupuskan sisa buangan minyak ke premis yang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Notis arahan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan susulan pencemaran minyak dan bau yang membelenggu kira-kira 6,000 penduduk berhampiran sebuah kawasan perindustrian di Klang, Selangor, sejak sebulan lalu.

“Hasil siasatan JAS pada 1 November 2023 mendapati terdapat kesan tompokan minyak di sekitar tapak pembinaan Bukit Kapar yang disyaki minyak enjin kenderaan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu Nik Nazmi dan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali melalukan tinjauan di tapak perindustrian Bukit Kapar yang dicemari minyak kereta yang dilupuskan secara haram.

Hadir sama Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Tambahnya, sehingga kini pihaknya sedang mengenal pasti individu yang bertanggungjawab melakukan pembuangan haram itu.

“Di bawah Seksyen 31, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Sekiranya kesalahan diteruskan, denda tambahan tidak melebihi RM1,000 akan dikenakan setiap hari dari tarikh notis dikeluarkan.

“Manakala di bawah Seksyen 37 pula, denda tidak melebihi dari RM2,000, atau penjara tidak lebih dari enam bulan, atau
kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Pada 1 November lalu, isu pencemaran itu dibangkitkan Dr Halimah Ali semasa persidangan Dewan Rakyat.

Menurut Dr Halimah, penduduk mendakwa terdapat aktiviti pembuangan bahan dipercayai sisa industri di tanah lapang di kawasan industri itu.

Dalam perkembangan sama, sejak 1 Januari 2023 sehingga 15 November 2023, sebanyak 178 aduan berkaitan pencemaran alam sekitar di bawah Parlimen Kapar telah dilaporkan.

“Dari jumlah itu, sebanyak 136 aduan telah dilaporkan berkaitan pencemaran udara, 12 buangan terjadual, lapan air, tujuh bunyi dan 15 kacau ganggu dan sampah sarap.

“NRECC menerusi JAS komited dalam menangani sebarang isu berhubung pencemaran dan menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar.

“Laporan boleh dilakukan di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast