Supt Hanyan Ramlan.

CHUKAI – Seramai 400 pelajar yang bakal menduduki Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET), di sini, Sabtu ini, dinasihatkan keluar awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan susulan penutupan jalan sempena penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman hari itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata, pihaknya akan menutup beberapa jalan utama di sekitar bandar Chukai bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari pada hari tersebut bagi melancarkan proses penamaan calon di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman.

“Untuk melancarkan proses demokrasi ini, polis telah diberi tanggungjawab untuk menjaga keselamatan dan keamanan di kawasan sekitar. Beberapa laluan akan ditutup secara kekal, berkala dan polis akan turut menyediakan lakuan alternatif bagi kelancaran trafik.

“Antara laluan yang ditutup secara kekal ialah Jalan Chukai-Ayer Putih dari lampu isyarat bandar Chukai sehingga pusingan U Wisma Kopkem, Jalan Padang dan Jalan Sentosa, manakala yang ditutup secara berperingkat pula antaranya laluan bermula di lampu isyarat bandar Chukai sepanjang perarakan berlangsung,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hanyan berkata, pihaknya akan membenarkan perarakan berkenderaan oleh calon, wakil saksi dan 30 orang yang mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hingga ke Pusat Penamaan Calon (PPC) sekiranya hujan.

“Yang tiada pas SPR pula boleh berkenderaan untuk mencari parking sekitar PPC dan berkumpul pada jarak 50 meter (m) dari pintu masuk PPC,” katanya yang menjangkakan kehadiran 10,000 penyokong.

Hanyan turut mengingatkan kesemua yang hadir untuk mengekalkan tahap disiplin tinggi selaras Akta Perhimpunan Aman 2012. – Bernama