KUALA LUMPUR – Pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi membuktikan dia memiliki potensi besar sebagai aset Malaysia selain konsisten ketika beraksi di atas padang.
Tonggak utama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu perlu diakui sebagai pemain yang mampu lagi berkembang sebagai pemain bola sepak tersohor pada masa akan datang menerusi aksi lincahnya.
Malah dengan usianya yang masih muda iaitu 21 tahun meletakkan Arif Aiman pada kelasnya tersendiri dan jauh meninggalkan rakan-rakan seusianya.
Malam tadi, Arif Aiman terus mempamerkan aksi cemerlang dengan empat bantuan jaringan ketika membantu Malaysia menang Republik Kyrgyz 4-3 dalam aksi Kumpulan D, Kelayakan Bersama Piala Dunia 2026 /Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Syukur dengan kemenangan malam ini dan kami bermain baik pada separuh masa pertama terutama 30 minit pertama tetapi selepas itu mereka berjaya jaringkan dua gol yang berpunca akibat kelekaan kami.
“Selepas itu, kami bolos satu lagi gol pada babak kedua tetapi tidak ada sebab untuk kami mengalah dan buat yang terbaik untuk dapatkan lagi tiga gol untuk mencipta kemenangan kerana kita memang wajib menang perlawanan pertama kelayakan ini sebab ianya sangat penting untuk dapat tiga mata,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Arif Aiman merupakan produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara dari 2015 hingga 2017 dan kemudiannya menyertai Akademi JJDT.
Dia bermain di semua peringkat akademi, termasuk JDT IV, JDT III, JDT II sehingga menjadi pemain tetap untuk pasukan utama pada musim 2021.
Arif melengkapkan musim gemilangnya apabila dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022 (ABK22).
Lebih menarik, dia menyamai rekod rakan sepasukan, Safawi Rasid (juara MVP 2018 dan 2019) untuk menang buat kali kedua berturut-turut selepas melakukannya pada edisi 2021. – MalaysiaGazette