GAZA CITI – Serangan bertalu-talu tentera penceroboh Israel telah memusnahkan sepenuhnya perkhidmatan kesihatan di Gaza.
Jika sebelum perang 35 hospital beroperasi namun semalam hanya tinggal sembilan separa berfungsi dengan jabatan tertentu telah ditutup kerana ketiadaan ubat-ubatan dan bahan api untuk menjana elektrik.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan baki 25 hospital terpaksa menamatkan operasi dan ditutup kerana telah musnah dan rosak berikutan tentera Zionis menyasarkan pusat-pusat kesihatan di seluruh Gaza.
Pusat kesihatan terbesar di wilayah itu Hospital Shifa kini ditawan oleh Israel yang mengambil alih keseluruhan pentadbiran dan melakukan operasi ketenteraan kerana mendakwa ia dijadikan markas oleh Hamas.
Sebanyak 40 pesakit termasuk tiga bayi pramatang meninggal dunia sejak 11 November lalu kerana kekurangan ubat-ubatan dan ketiadaan bahan api.
“Pasukan perubatan tidak boleh bergerak antara jabatan dan bangunan dalam hospital kerana dron Israel akan menembak sesiapa sahaja yang bergerak di dalam dan di luar kompleks,” katanya.
Pesakit, petugas dan pelarian kini berpindah ke pekarangan Hospital al-Shifa. Mereka kini berada dalam keadaan terdesak kerana ketiadaan bekalan air dan makanan.
Sehingga 15 November lalu sejumlah 11,470 rakyat Palestin maut akibat serangan tentera penceroboh di Gaza dengan 4,707 adalah kanak-kanak, 3,155 wanita dan 689 orang tua.
Jumlah mereka yang cedera kini mencecah 29,000 orang. Manakala 202 petugas kesihatan turut terbunuh. Sejumlah 3,640 masih hilang dengan 1,770 adalah kanak-kanak.
Sementara di Tebing Barat dilaporkan 197 dibunuh oleh tentera Israel sejak 7 Oktober dengan 2,750 cedera.
Turut dilaporkan adalah 276,000 bangunan termasuk rumah musnah sepenuhnya dan rosak akibat serangan Israel yang turut menyerang 73 masjid dan tujuh gereja.-Agensi