Gambar hiasan

AMPANG – Gara-gara berang kerana hubungan cintanya bersama kekasih tidak direstui keluarga, seorang lelaki bertindak mengamuk dengan menggunakan sebilah parang di sebuah rumah di Jalan 10 Pandan Jaya dekat sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, suspek disyaki seorang lelaki warga tempatan berjaya dijejaki dan diberkas oleh polis Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian 4.30 petang pada 1 November lalu, pihaknya telah menerima laporan mengenai insiden tersebut daripada ahli keluarga suspek.

“Siasatan awal mendapati pengadu menyatakan suspek bertindak menghentak kaki mangsa yang merupakan abangnya dengan sebilah parang.

“Malah suspek turut mengejar ibunya dengan parang sehingga menyebabkan wanita terbabit lari ketakutan bagi mendapatkan perlindungan di rumah jirannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ampang Jaya telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki remaja tempatan yang disyaki terlibat.

Katanya, suspek seorang lelaki remaja yang berumur 19 tahun dan tidak bekerja itu akhirnya berjaya ditahan kira-kira jam 7 malam.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut berjaya membawa kepada rampasan sebilah parang yang dipercayai digunakan semasa kejadian tersebut.

“Semakan polis mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Siasatan lanjut polis mendapati punca suspek mengamuk dengan parang adalah disebabkan oleh suspek tidak berpuas hati terhadap keluarganya yang melarang suspek berkawan dengan seorang wanita yang merupakan kekasihnya,” katanya.

Suspek sedang direman dan kes sedang disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata dan 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah yang boleh membawa kematian dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette