KUALA LUMPUR – Perdagangan negara pada Oktober 2023 meneruskan aliran menurun untuk bulan kelapan berturut-turut sejak Mac 2023 di sebalik permintaan global yang perlahan dan harga komoditi yang lebih rendah.

Penurunan ini mencerminkan cabaran berterusan yang dihadapi oleh sektor luaran Malaysia didorong faktor ekonomi global.

Jumlah perdagangan menyusut 2.4 peratus kepada RM239.5 bilion disumbangkan oleh penurunan eksport 4.4 peratus kepada RM126.2 bilion dan import 0.2 peratus kepada RM113.3 bilion,
tahun ke tahun.

Sementara itu, imbangan perdagangan kekal dalam lebihan dengan nilai RM12.9 bilion, menyusut 30.3 peratus pada Oktober 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia mencatatkan penurunan pada Oktober 2023 sejajar dengan penurunan eksport semula dan eksport domestik.

Eksport semula berjumlah RM29.8 bilion, menyusut 2.2 peratus berbanding Oktober 2022.

Eksport domestik bernilai RM96.4 bilion, menyumbang 76.4 peratus kepada jumlah eksport turun 5.0 peratus.

Import pada Oktober 2023 bernilai RM113.3 bilion, turun 0.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas.

Menurut beliau, lebihan dagangan menguncup 30.3 peratus kepada RM12.9 bilion, merupakan lebihan dagangan bulan ke-42berturut-turut sejak Mei 2020.

Berbanding September 2023, prestasi eksport, import dan jumlah perdagangan mencatatkan peningkatan masing-masing 1.5 peratus,
13.4 peratus dan 6.8 peratus.

Sementara itu, imbangan dagangan mencatatkan penurunan 47.2 peratus berbanding September 2023.

Meninjau dari sudut kumpulan barangan, 106 daripada 258 kumpulan barangan eksport dan 103 daripada 258 kumpulan barangan import menunjukkan penurunan
berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kata beliau, eksport lebih perlahan adalah disebabkan oleh penurunan terutamanya ke Jepun (-RM2.0 bilion) diikuti oleh Singapura (-RM1.6 bilion), China (-RM1.3 bilion), Thailand (-RM1.3 bilion), Togo (-RM1.2 bilion), Bangladesh (-RM880.1 juta) dan Indonesia (-RM501.4 juta). Sementara itu, pengurangan import disumbangkan terutamanya dari Taiwan (-RM3.4 bilion), diikuti oleh Amerika Syarikat (-RM2.4 bilion), Arab Saudi (-RM1.7 bilion), Jepun (-RM1.1 bilion), Australia (-RM962.2 juta) dan
Kuwait (-RM567.4 juta).

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, jelasnya, penyusutan selaras dengan pengurangan oleh keluaran petroleum (-RM4.3 bilion); gas asli cecair (-RM2.5 bilion); barangan elektrik & elektronik (-RM1.2 bilion); petroleum mentah (-RM660.4 juta) dan barangan perkilangan berasaskan minyak sawit (-RM484.3 juta). Sementara itu,
penguncupan import dicatatkan untuk barangan elektrik & elektronik (-RM3.7 bilion); petroleum mentah (-RM1.2 bilion); arang batu, kok & briket
(-RM866.1 juta); kelengkapan pengangkutan (-RM511.1 juta) dan gas asli cecair (-RM418.5 juta).

Import mengikut penggunaan akhir menyusut seiring dengan permintaan yang lebih perlahan bagi barangan perantaraan yang mencatatkan kemorosotan 7.9 peratus kepada RM55.9 bilion berbanding RM60.7 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, import barangan penggunaan berjumlah RM9.4 bilion, mencatatkan peningkatan 9.9 peratus atau RM847.0 juta dan barangan modal dengan nilai RM12.7 bilion, meningkat 8.6 peratus berbanding Oktober 2022.

Berikutan dengan itu, jumlah perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan juga menunjukkan arah aliran menurun bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023.

Jumlah perdagangan menurun 8.0 peratus, daripada RM2.4 trilion kepada RM2.2 trilion, sejajar dengan penurunan dalam eksport (-8.0%) serta import (-8.0%). Pada masa yang sama, lebihan dagangan susut 7.9 peratus untuk mencatatkan nilai RM190.0 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast