KUALA SELANGOR – Kementerian Kerja Raya tidak akan menghalang mana-mana pihak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya pengguna terbabit kemalangan yang berpunca daripada kerosakan jalan raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Nanta Linggi berkata, bagaimanapun pihaknya sentiasa melakukan siasatan sekiranya insiden itu berlaku.
“Apabila mereka kata nak ambil tindakan undang-undang, itu hak rakyat.
“Kita serahkan kepada mereka,” katanya pada sidang media di Plaza Tol Assam Jawa, Jeram, di sini.
Sabtu lalu, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas digilis lori ketika dalam perjalanan dari Shah Alam ke tempat kerjanya di Pelabuhan Utara, Klang.
Dalam masa sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 37 tahun menunggang motosikal Honda RS 150R memotong sebuah lori sebelum terlanggar lubang.
Lelaki itu kemudian tercampak ke atas jalan dan digilis lori treler yang membawa muatan tiang batu dari arah sama.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Ketika ditanya tentang pampasan kepada keluarga mangsa, Nanta berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan dalam masa terdekat.
“Siasatan sedang berjalan di peringkat KKR mengenai pampasan itu, kita akan bincang secara dalaman dulu dan ikut SOP kita,” katanya. – MalaysiaGazette