TEL AVIV – Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mendakwa kapal kargo Galaxy Leader yang dirampas oleh Houthi Yaman tidak membawa rakyat negara itu.
Netanyahu dalam kenyataan turut menafikan bahawa kapal yang dirampas pada Ahad itu adalah milik syarikat Israel.
“Kapal itu, yang dimiliki oleh syarikat British dan dikendalikan oleh firma Jepun, telah dirampas di bawah arahan Iran oleh militia Houthi di Yaman.
“Kapal itu mempunyai 25 anak kapal dari pelbagai negara, termasuk warga Ukraine, Bulgaria, Filipina dan Mexico; tiada warga Israel berada di atas kapal,” katanya.
Kapal yang didakwa membawa kereta dari Turki telah dirampas di selatan Laut Merah dalam perjalanan ke India.
Sementara itu Times of Israel melaporkan, kapal tersebut sebahagiannya dimiliki oleh taikun Israel, Abraham Ungar yang juga dikenali sebagai Rami.
Kapal itu telah disewakan kepada sebuah syarikat Jepun pada masa rampasan.
Houthi telah berikrar untuk menyasarkan kapal yang berkaitan dengan Israel di Laut Merah berikutan serangan ganas regim Zionis ke atas Gaza.- MalaysiaGazette