Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka berlaku sehingga esok di beberapa negeri.

MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk diramal berlaku sehingga esok di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh) serta Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang).

Hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di negeri Kedah (Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Manjung) dan Pulau Pinang dalam tempoh esok sehingga hari Khamis ini.

“Hujan berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku di negeri Kelantan (Jeli dan Kuala Krai) , Terengganu (Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, Pahang (Kuantan) sehingga esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MetMalaysia melaporkan amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam.

Amaran hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh enam jam.

Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan, ribut petir sedang atau dijangka berlaku dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan.

Amaran tersebut dikeluarkan pada 12 tengah malam tadi menerusi platform Facebook MetMalaysia – MalaysiaGazette