KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kekal komited memperkasakan pendidikan kewangan menerusi ASNB Academy yang baru dilancarkan pada bulan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzzaffar Othman berkata, ASNB Academy adalah inisiatif ASNB untuk membantu orang ramai mendapatkan panduan mengurus kewangan dengan lebih bijak, selaras dengan matlamatnya dalam mendidik rakyat terutama golongan muda tentang pentingnya menabung.
Menurut beliau, ASNB Academy menyediakan kandungan yang menepati keperluan semua – dari peringkat pelajar sekolah sehingga untuk golongan dewasa kerana platform ini orang ramai boleh mencari maklumat, tips dan panduan mengurus wang dengan betul.
Menurut beliau, dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang, orang ramai khususnya golongan muda mesti ada ilmu untuk mengurus kewangan mereka.
“Jadi di sinilah ASNB Academy memainkan peranannya dengan menyediakan kandungan untuk membantu orang ramai menyimpan, menabung dan seterusnya melabur.
“Semua ini memerlukan ilmu kewangan dan ASNB Academy akan memberi pendidikan kewangan kepada seramai mana yang boleh kerana laman sesawang ASNB Academy boleh diakses oleh semua dengan mudah,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam pertemuan baru-baru ini.
Beliau yang begitu prihatin dengan pendidikan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia mengakui, pengurusan kewangan dalam kalangan generasi muda sekarang
adalah sesuatu yang mencabar, seiring dengan kepesatan teknologi dan perubahan gaya hidup.
Ini kerana, dalam usia muda mereka begitu mudah akses kepada kad kredit dan gaya hidup yang memerlukan perbelanjaan yang cukup besar.
“Pakai kad kredit ini nampak sahaja mudah. Dengan sekeping kad (kredit), kita boleh berbelanja, macam-macam boleh beli. Tapi awas, kalau silap pakai bertahun-tahun terpaksa menanggung hutang, bukan sikit (komitmen) hutang yang perlu ditanggung. Hidup jadi haru-biru, lintang-pukang.
“Macam juga trend minum kopi di kafe-kafe popular, walaupun hanya minum secawan kopi tetapi kalau setiap hari, dengan harganya yang bukan murah, jika dikira sebulan berbelanja (kopi), mahu jumlahnya satu per empat daripada gaji.
“Disebabkan situasi inilah, golongan muda mudah terdedah menjadi muflis atau memiliki hutang yang banyak sehingga menjejaskan masa depan sendiri. Oleh sebab itu,
rakyat Malaysia perlu kembali meningkatkan ilmu kewangan supaya mampu menguruskan kewangan masing-masing.
“Oleh itu, jadikanlah ASNB Academy sebagai rujukan. Ia menyediakan kandungan yang anda perlukan untuk menguruskan kewangan dari peringkat permulaan sehingga seterusnya, ” tambahnya.
Muzzaffar Othman di Menara PNB, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 10 NOVEMBER 2023.Muzzaffar menambah, apabila setiap orang memiliki tabungan, maka mereka boleh mengambil langkah seterusnya untuk meningkatkan simpanan mereka dengan membuat pelaburan.
Jelasnya, membuat pelaburan juga perlu ada ilmu yang betul kerana di luar sana, ditambah pula dengan kerancakkan teknologi pelbagai jenis pelaburan ditawarkan di pasaran – sama ada berisiko besar dengan pulangan tinggi atau risiko rendah dan pulangan kompetitif.
Juga, penipuan pelaburan yang menyebabkan ramai orang menjadi mangsa.
“Sebab itu, orang ramai perlu ada ilmu. Ilmu penyimpan, ilmu melabur. Silap melabur, habis simpanan dengan sekelip mata, bahaya tu.
“Timbalah ilmu kewangan di ASNB Academy dan kemudian buatlah pelaburan mengikut selera masing-masing supaya anda mempunyai sumber kewangan ketika waktu susah,” katanyanya lagi.
Tetapi untuk pelaburan selamat, melaburlah di ASNB kerana produk-produknya pelbagai dan berisiko rendah, kecairan tinggi serta memberi peluang kepada semua peringkat umur melabur tanpa modal besar.
Menurut Muzzaffar, produk-produk ASNB ini sepatutnya menjadi pilihan pelabur untuk membina tabungan terutama semasa kecemasan.
“Kenapa saya kata begitu? Semasa dan selepas pandemik Covid-19, kita menyaksikan para pelabur kita terutama pelabur biasa melakukan menebus pelaburan mereka. Pada saya situasi ini tidak mengapa kerana inilah matlamat ASNB menguruskan pelaburan rakyat Malaysia.
“Pelabur kita tahu mereka ASNB ketika mereka dalam keadaan kecemasan sebabkan itu mereka keluarkan wang yang dilabur dengan kita.
“Cuma pesan saya, kekalkan amalan menyimpan dan melabur ini sebagai disiplin diri terutama dalam kalangan orang muda. Insya-Allah bila kita menyimpan dan melabur dengan betul, senang kita menguruskan kehidupan,” ujarnya. – MalaysiaGazette