Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyerahkan pemakluman saman kepada penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, hari ini.

Pemakluman tersebut diserahkan secara penyampaian ganti melalui akhbar The Star ekoran keputusan mahkamah pada 6 November lalu.

Menurut beliau, tindakan itu diambil kerana surat saman terhadap Wan Muhammad Azri tidak dapat diserah tangan kepadanya.

“Peguam saya telah cuba untuk hubungi individu bernama Wan Muhammad Azri sejak beberapa bulan lalu.

“Ini berkait kenyataan fitnah yang dibuat individu tersebut terhadap saya sebelum pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Difahamkan, Fahmi mendakwa Wan Mugammad Azri dan dua defendan lain iaitu penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani serta pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’, Mohd Fauzan Madzlan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwanya menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.

Beliau mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan dalam akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos, manakala di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lepas. – MalaysiaGazette