Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) digesa untuk memantau dan mengambil tindakan tegas kepada kartel yang menjalankan sindiket pekerja asing dan buruh paksa.

Wakil kerajaan, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, langkah itu perlu diambil supaya nama negara tidak tercemar di peringkat antarabangsa susulan isu buruh paksa yang berlaku.

“Malaysia memerlukan peranan pekerja aising dalam sektor perladangan, perkhidmatan, sektor perindustrian, jadi tanggungjawab kita yang menghormati hak asasi hak pekerja.

“Kita tak mahu kartel menjalankan operasi jenayah sesuka hati, bagi saya wajar pihak KDN, KSM serta agensi keselamatan ambil iktibar jaga nama baik negara kita,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Belanjawan 2024 peringkat jawatankuasa Kementerian Sumber Manusia, hari ini.

Hassan dalam pada itu berkata, kerajaan harus memantau kemasukan pekerja asing bagi memastikan insiden kematian seorang perekrut warga Nepal yang mengunjungi Malaysia untuk menangani isu visa kerja selepas tiga hari tiba di negara tidak berulang.

“Benar kes ini dalam siasatan polis tapi bacaan saya macam ada perkara tak kena (membabitkan kes kematian itu).

“Kita perlu jaga imej negara kita yang berpandukan undang-undang, kita tak mahu apa berlaku di Malaysia menjadi amalan perhambaan moden, buruh paksa kerana rakyat asing datang secara sah ramai datang sampai Malaysia kerja dijanji tak ada, mereka ditipu, jadi menteri kena jelaskan isu mereka (pekerja asing) ditipu agensi swasta,” katanya.

Dalam perbahasan sama, wakil pembangkang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) meminta KDN dan KSM menyatakan status 1,120 pekerja asing terkandas tidak mendapat kerja apabila tiba di Malaysia sehingga mendapat liputan antarabangsa.

“Isu ini boleh menyebabkan pekerja itu dan kemungkinan jadi buruh paksa dan ia boleh jejas nama baik negara,” katanya. – MalaysiaGazette