Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat (AS) dan pertemuan Perdana Menteri dengan syarikat-syarikat negara berkenaan menjamin Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebanyak RM63.02 bilion serta potensi eksport sebanyak RM2.78 bilion dari Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz berkata, pihaknya  gembira kerana lawatan ke AS berjaya membawa pulang komitmen Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang baharu sebanyak RM63.02 bilion dan eksport berkomitmen sebanyak RM2.78 bilion dari Malaysia.

“Perkara yang sama penting adalah pengetahuan dan kepakaran yang dibawa oleh syarikat-syarikat ini untuk menambah baik kerumitan ekonomi Malaysia dalam sektor pembuatan seperti yang ditetapkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Ini akan membantu menjana perniagaan dengan kadar nilai lebih tinggi untuk usahawan kecil dan sederhana kita serta menyediakan pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi untuk rakyat.

“Terdapat jaminan bahawa projek FDI yang dicadangkan akan difasilitasi dengan baik oleh MITI melalui badan yang berfokus kepada pelaksanaan seperti Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan serta Majlis Pelaburan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat satu dengan satu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung pada 15 November lalu di San Francisco.

Misi perdagangan yang terdiri daripada wakil-wakil peringkat tinggi dari MITI, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) berlangsung dari 6 hingga 13 November lalu di bandar-bandar Chicago, Seattle dan San Francisco.

Menurut Tengfku Zafrul, kedua-dua inisiatif tersebut mengutamakan FDI berteknologi dan bernilai tinggi sementara misi juga menumpukan perhatian kepada pengeksportan barang dan perkhidmatan Malaysia yang bernilai tinggi.

Pertemuan Perdana Menteri dengan gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, Enovix dan TikTok memperoleh FDI sejumlah RM54.72 bilion sepanjang tempoh 10 hingga 15 tahun.

Malaysia juga secara aktif menarik perhatian pemain kenderaan elektrik (EV) termasuk Tesla.

Rombongan misi yang dipimpin oleh Tengku Zafrul juga telah menghasilkan komitmen FDI sebanyak RM8.3 bilion dari Abbott Laboratories, Mondelez International, Amsted Rail, Hematogenix, PerkinElmer, Ford Motor Company, Boeing, Amazon Web Services, dan Lam Research.

Syarikat-syarikat ini terlibat dalam pelbagai sektor termasuk aerospace, kimia, E&E (termasuk semikonduktor), farmaseutikal, teknologi bateri kenderaan elektrik (EV), peralatan perubatan, sains hayat, perkhidmatan awan dan logistik.

Bagi eksport, Canadian Tyre Corporation, Global Agri Trade Corporation dan Unigen Corporation adalah antara syarikat-syarikat yang telah berjanji untuk mengeksport barang dari Malaysia dengan nilai gabungan sebanyak RM2.78 bilion. – MalaysiaGazette