Baharin Din

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menaik taraf dengan dengan penjenamaan semula dan transformasi Malaysia Green Attribute Trading
System (mGATS) untuk menjadi pasaran digital terulung negara bagi Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia (Malaysia Renewable Energy Certificate, mREC).

Dalam kenyataan di sini, TNB berkata, mGATS yang dijenamakan semula dijadualkan untuk dilancarkan pada suku pertama 2024.

mGATS yang pada mulanya diperkenalkan sebagai hub maklumat untuk sijil tenaga boleh baharu empat tahun lalu, kini mengalami perubahan ketara dalam fungsinya, beralih kepada pasaran digital dinamik untuk REC.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, pelancaran mGATS yang dijenamakan semula menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia ke arah masa depan tenaga yang lebih hijau dan mampan.

Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menyasarkan 70% bekalan tenaga primer Malaysia datang daripada
tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050.

Menurutnya, mGATS yang dinaik taraf akan memberikan manfaat besar kepada pelanggan perniagaan, menawarkan cara yang telus dan mesra pengguna untuk mendapatkan tenaga elektrik hijau, terutamanya bagi mereka yang menyasarkan matlamat penggunaan tenaga boleh baharu sebanyak 100%.

“Apabila platform mGATS yang baharu beroperasi pada suku pertama 2024, entiti komersial dan perindustrian yang berminat untuk mendapatkan mREC bagi elektrik hijau secara tidak langsung boleh mengambil bahagian dalam platform pembidaan.

“mGATS akan berkembang dari semasa ke semasa untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan kami dalam usaha mereka mencari tenaga elektrik hijau,” tambah beliau.

mREC merupakan instrumen berasaskan pasaran yang memperakui pemilikan elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu di Malaysia, khususnya bagi menangani pelepasan protokol gas rumah hijau di bawah Skop 2 yang berkaitan dengan penjanaan tenaga elektrik, membezakannya daripada kredit karbon yang lebih meluas yang terpakai untuk pelepasan dalam protokol gas rumah hijau Skop 1, Skop 2, dan Skop 3. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast