ISTANBUL – Qatar akan mengumumkan perjanjian gencatan senjata dengan Israel, kata Hamas.
“Sekarang, terpulang kepada saudara di Qatar, mereka akan mengumumkan perjanjian gencatan senjata dengan Israel termasuk syaratnya,” kata Izzat al-Risheq, ahli biro politik Hamas, kepada Al Jazeera yang berpangkalan di Doha.
Menurutnya, butiran gencatan senjata itu akan diumumkan dalam beberapa jam lagi.
“Sebaik sahaja pengumuman perjanjian itu, ia akan diterima oleh kami (Hamas), dan akan mencerminkan tuntutan bersatu (Palestin),” kata al-Risheq.
Beliau juga berkata sebelum menyampaikan maklum balas Hamas berhubung cadangan gencatan senjata dan syaratnya, ketua Hamas Ismail Haniyeh akan bertemu dengan ketua kumpulan Jihad Islam, Ziyad al-Nakhalah.
Lewat Isnin, media negara Israel melaporkan pihak berkuasa Tel Aviv memberi lampu hijau untuk menyelesaikan perjanjian pertukaran tahanan, sambil menambah mereka sedang menunggu jawapan daripada Hamas.
Menurut anggaran rasmi Israel, kira-kira 240 orang telah ditahan dan menjadi tebusan Hamas di Gaza sejak 7 Oktober lalu.
Sayap bersenjata Hamas, Briged Al-Qassam, sebelum ini berkata, ia menahan kira-kira 200 hingga 250 orang, termasuk tentera Israel dan orang awam.
Mereka kemudian mengumumkan beberapa orang daripada mereka terbunuh semasa serangan udara Israel di seluruh Gaza sejak 7 Oktober lalu. – Agensi