Ruslin Jusoh menunjukkan barang rampasan sindiket Pasport Palsu didalangi warga Bangladesh dalam serbuan di Kepong awal pagi semalam menerusi sidang media khas di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Satu sindiket didalangi warga Bangladesh yang terlibat menghasil dan menjual pasport palsu untuk pekerja warga asing akhirnya dilumpuhkan pihak berkuasa.

Tiga suspek warga Bangladesh termasuk dalang utama yang menjadikan unit apartmen sewa sebagai markas berjaya diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Vista Mutiara semalam.

JIM merampas keseluruhan 121 naskah pasport palsu iaitu pecahan 76 naskah pasport Bangladesh, 44 naskah (Indonesia) dan senaskah pasport Myanmar.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pasukan pegawai perisikan dan operasi khas telah menjalankan serbuan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan selama dua minggu lalu.

Berdasarkan maklumat hasil risikan tersebut satu operasi khas telah diatur gerak ke Taman Perniagaan Kepong dekat sini sebelum berjaya menahan dua lelaki warga Bangladesh berumur 26 dan 28 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorangnya memiliki pas lawatan kerja sementara yang akan tamat pada 2024 manakala rakannya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

“Siasatan lanjut juga mendapati kedua-duanya merupakan orang kanan sindiket pasport palsu dan ditahan semasa dalam perjalanan membawa bungkusan yang mengandungi 51 naskah pasport palsu Bangladesh, 38 pasport Indonesia dan satu naskah pasport Myanmar disyaki palsu yang siap untuk dipos kepada pelanggan mereka,” katanya pada sidang media hari ini.

Ruslin Jusoh menunjukkan barang rampasan sindiket Pasport Palsu didalangi warga Bangladesh dalam serbuan di Kepong awal pagi semalam menerusi sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Berpandukan hasil maklumat soal siasat ke atas tangkapan dua suspek pertama itu, pasukan operasi bergerak ke Jalan Kepong sebelum membuat serbuan ke atas sebuah rumah di apartmen sebelum berjaya menahan seorang lagi lelaki warga Bangladesh bernama Shimul disyaki dalang utama menggerakkan operasi pasport palsu,” katanya.

Pemeriksaan lanjut ke atas suspek ketiga mendapati lelaki berusia 33 tahun itu memiliki pas PLKS yang sah sehingga 2024.

Menurut Ruslin lagi, siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket berkenaan menghasilkan pasport palsu yang menyasarkan warga asing dari enam negara sumber iaitu Bangladesh, Myanmar, Indonesia, Nepal, India dan Pakistan yang tidak mempunyai pasport dan dokumen pengenalan diri untuk bekerja tetap di negara ini.

“Kita mendapati sindiket ini akan mencari dan menghampiri mereka (warga asing) yang bermasalah tinggal lebih masa dan mahu terus bekerja di negara ni dan kemudian menawarkan perkhidmatan pasport palsu yang disediakan sindiket.

“Soal siasat juga mendedahkan sindiket didalangi warga Bangladesh ini beroperasi secara aktif dalampemalsuan dokumen perjalanan asing sejak setahun yang lalu dengan mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM700 untuk setiap naskah.

“Semasa serbuan ke atas rumah suspek ketiga, pasukan operasi berjaya merampas sebanyak 15 naskah pasport Bangladesh senaskah pasport Indonesia disyaki palsu, dua buah komputer riba dilengkapi perisian foto imej dan dua buah mesin pencetak serta alat penebuk pasport untuk menghasilkan pasport palsu,” katanya lagi.

Ketiga-tiga suspek itu kini direman selama 14 hari bermula semalam di depot tahanan Imigresen di Putrajaya bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 56(1)(I) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara 5 tahun atau denda RM10,000 serta tidak lebih enam sebatan jika disabitkan kesalahan.

Ruslin Jusoh menunjukkan barang rampasan sindiket Pasport Palsu didalangi warga Bangladesh dalam serbuan di Kepong awal pagi semalam menerusi sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Beliau dalam perkembangan sama menegaskan, siasatan kini menjurus kepada kepala atau perancang utama kerana mengakui terdapat lagi rangkaian yang masih beroperasi di tempat lain.

Ruslin juga tidak menolak kemungkinan wujud penglibatan orang tempatan di sebalik operasi pasport palsu berkenaan

“Kalau dulu sindiket berkenaan aktif menyediakan khidmat pasport palsu secara serahan tangan dan menerima wang tunai tetapi sindiket terbaharu ini menggunakan khidmat kurier dan bayaran dalam talian daripada pelanggan untuk mudah mengkaburi mata pihak berkuasa menghidu kegiatan ini,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast