KUALA LUMPUR – Satu sindiket didalangi warga Indonesia yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dengan menjadikan unit kondominium sebagai tempat menyorok bekalan ditumpaskan polis di sini baru-baru ini.
Enam individu termasuk seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki ketua sindiket dadah berkenaan berjaya diberkas di ibu negara pada 17 November lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, polis pada jam sekitar 7.20 malam menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kuala Lumpur telah melancarkan dua serbuan di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Ampang Kiri di sini.
“Hasil serbuan itu, polis berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia, empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan kesemuanya berusia lingkungan 26 hingga 46 tahun di lobi dan bilik rumah kondominium itu.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah yang disyaki disewa itu berjaya membawa kepada penemuan dan rampasan 10 bungkusan dadah mampat disyaki syabu seberat 10 kilogram di kawasan lobi kondominium tersebut.
“Nilai rampasan syabu itu adalah dianggarkan berjumlah RM341,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Allaudeen, dalam serbuan sama, polis juga berjaya melakukan rampasan dan sitaan sebuah kereta jenis Toyota Alphard, Vios dan Perodua Alza.
Kesemuanya bernilai RM290,000 yang dipercayai digunakan oleh sindiket untuk mengambil bekalan dari sempadan negara dan pengedaran sekitar ibu negara.
Semakan polis mendapati kesemua lima suspek warga tempatan itu mempunyai rekod jenayah lampau narkotik dan jenayah manakala kesmeua mereka juga disahkan positif methaphetamine.
“Sindiket pengedaran dadah ini bergerak aktif dalam aktiviti pengedaran dadah ini sejak dua bulan lalu sekitar ibu negara. Modus operandi sindiket ini adalah menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mengikut pesanan yang diterima dengan menggunakan kenderaan.
“Polis masih meneruskan siasatan untuk mengenalpasti punca bekalan dadah ini diperoleh sindiket manakala lelaki warga Indonesia yang ditahan itu berperanan sebagai ketua sindiket dadah tersebut sementara lima warga tempatan adalah ahli sindiket,” ujarnya.
Kesemua enam suspek itu kini direman selama tujuh hari sehingga 24 November ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette