Tangkap layar video insiden pengadil dikejar individu dipercayai pemain bola sepak pada perlawanan yang berlangsung di daerah Manjung hingga tular di media sosial. Foto Ihsan pembaca

MANJUNG – Polis akan memanggil tiga lelaki dipercayai pemain bola sepak yang didakwa mencederakan seorang pengadil sewaktu Kejohanan 9 Sebelah Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia (MALA) 2023 di Padang Pertanian Lekir, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata, ini susulan mangsa berusia 27 tahun membuat laporan polis pada 7.26 malam kelmarin berhubung diserang tiga individu terbabit.

Menurutnya, mangsa yang berkhidmat sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera di bahagian pinggang dan kaki akibat ditendang ketika perlawanan bola sepak tersebut dan kini mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Seri Manjung.

“Pengadu adalah pengadil perlawanan bola sepak antara dua pasukan membabitkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dengan Majlis Daerah Setiu (MDS).

“Semasa pengadu mengumumkan keputusan perlawanan, pihak MDS tidak berpuas hati menyebabkan tiga suspek datang menyerang pengadu di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan sengaja yang boleh dihukum dengan penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Sarjan Norzian Yahya di talian 019-390 5390 bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 30 saat memaparkan seorang pengadil perlawanan cuba melarikan diri selepas beberapa pemain mengejarnya dan cuba menyerangnya. – MalaysiaGazette